Saturday, March 13, 2010

Konspirasi Terbesar Dunia!

Apakah konspirasi terbesar yang berlaku sejak dari dahulu lagi hingga sekarang? Mungkin anda mempunyai persepsi tersendiri, tetapi disini ingin dinyatakan bahawa konspirasi terbesar yang telah pun bermula sejak dahulu adalah pakatan Iblis (Lucifer) dan para Syaitan daripada golongan Jin untuk menjadikan manusia tidak merasakan kehadiran mereka. Dengan kata lain, membuatkan manusia tidak yakin dan tidak percaya dengan kewujudan syaitan. Syaitan terbahagi kepada dua jenis iaitu syaitan daripada golongan manusia dan syaitan daripada golongan jin.

Apakah Tujuan Mereka Berbuat Demikian?

Tujuan utamanya adalah agar manusia tidak merasakan bahawa kejahatan itu berasal daripada mereka dan akhirnya akan menyebabkan kita tidak percaya kewujudan syaitan. Jika kita tidak mempercayai kewujudan iblis dan syaitan, bermakna iman kita telah rosak kerana tidak mempercayai perkara ghaib. Dan sekiranya kita tidak mempercayai kewujudan iblis dan syaitan, ia menjadikan kita juga tidak yakin dengan al-Quran dan al-Hadith, kerana al-Quran dan al-Hadith sendiri banyak sekali menyebut tentang iblis dan syaitan.

Maka konspirasi ini telah berjaya sebenarnya, kerana kita lihat dalam zaman moden ini ramai yang ragu-ragu dengan perkara ghaib. Ramai yang semakin tidak mahu mempercayai kewujudan alam ghaib, kononnya semua ini adalah lapuk dan kuno. Sedangkan perkara ghaib itu adalah suatu yang nyata dan lebih maju daripada pemikiran orang-orang yang mengatakannya kuno dan lapuk.

Iblis dan syaitan boleh sahaja bila-bila masa pun menjelma didepan kita dan menampakkan tubuh mereka. Tetapi mereka sengaja mengekalkan keghaiban diri mereka kerana dengan itu akan membuatkan manusia menjadi was-was, sehinggakan ada yang ragu-ragu. Dan adakalanya iblis dan syaitan menampakkan rupa mereka kepada sesetengah manusia, agar itu nanti akan menjadi percanggahan antara manusia. Manusia akan berselisih pendapat, ada yang percaya dan ada yang tidak percaya. Semua itu adalah suatu konspirasi untuk mengelirukan dan menyesatkan anak-anak Adam.



http://www.youtube.com/watch?v=WjG1OkKTicI (Lagi mengenai konspirasi terbesar dunia. Klik disini)

Ramai daripada kalangan manusia yang hanya statik pemikirannya dengan merasakan benda-benda yang nampak ini sahaja sebenarnya yang wujud. Sedangkan benda-benda yang nampak di depan mata kita ini hanyalah sesuatu yang boleh dilihat oleh bebola mata kita ini sahaja. Bebola mata kita yang amat lemah dan rapuh ini bukan boleh melihat segalanya didalam alam maya yang sungguh unik ciptaan Yang Maha Esa ini. Ada lagi dimensi-dimensi lain yang masih tidak mampu dilihat oleh deria penglihatan kita dan alam lain itu lebih maju daripada kita di sini. Sesungguhnya kita berada di alam yang sama dengan jin dan makhluk ghaib yang lain, cuma dimensi sahaja yang berlainan.

Berlainan sekali dengan kita tidak dapat melihat Allah kerana Allah mahu menguji kita di dunia ini.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Mulk : ayat 2)

Maka kehendak Allah swt tidak boleh dipersoalkan oleh kita sebagai hamba. Kita hanya mesti patuh pada kehendaknya dan berusaha untuk melakukan kebaikan sebaik mungkin.

Tetapi iblis dan konco-konconya ingin menyesatkan manusia dengan berselindung dan bertindak secara halus dan teliti. Mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing terutamanya bidang menghasut. Mereka dapat bergerak didalam salur darah kita seperti arus elektrik mengalir dalam wayar tembaga. Sememangnya jasad mereka sekarang ini pun terdiri daripada unsure-unsur elektrik, kerana mereka diciptakan daripada lidah api. Dan cita-cita mereka tidak lain iaitu untuk menyesatkan manusia dengan apa cara sekali pun. Dan mereka juga sudah berjaya menghasut manusia untuk menjadi syaitan daripada kalangan manusia bagi membantu tugas-tugas mereka. Dan syaitan-syaitan itulah yang menghasut manusia lain agar manusia beransur-ansur menjadi pemuja selain daripada Allah atau dengan kata lain pemuja iblis!


http://www.youtube.com/watch?v=AjmcunmGd8U (Bukti kewujudan pengikut-pengikut iblis dan syaitan pada masa kini. Klik disini)


http://www.youtube.com/watch?v=ibJdXuHW8WM (Mengapa mereka memilih untuk menjadi pengikut iblis dan syaitan? Klik disini.)



No comments:

Post a Comment